Hampir setahun perancangan untuk menduga perairan sekitar pelantar minyak atau boreng Dulang Terengganu dibuat, akhirnya trip selama 5 hari 4 malam pada bulan Mac menjadi kenyataan.

 

Trip ini disertai oleh Abang Aziz Jaffar, Abang Sehak Jamali, Baginda Apai, Nasa, Hamzan Setia, Shamsul Eryfin, Ayah Shamsul, Shamsul Basri, Abang Mat, Abang Hashim, Amy Bundle dan penulis sendiri.

 

Trip Retro – Pesta Merah Suman Pelantar Minyak

 

Hari Pertama

 

Perjalanan untuk ke boreng pertama kami iaitu Puteri Dulang mengambil masa kira-kira 12 jam. Tepat jam 12 tengah malam barulah kami tiba ke lokasi pertama kami.

Kesemua ahli komplot bersemangat melabuhkan umpan namun ternyata nasib tak menyebelahi kerana 2 jam kami di sini sia-sia sahaja tanpa membuahkan sebarang hasil.

 

Melihat keadaan senyap sunyi, Tekong Che Mat terus mengambil keputusan untuk berpindah ke  lokasi kedua iaitu Dulang B yang jaraknya hanya 1 jam dari lokasi pertama.

Sampai sahaja di sini, kemeriahan mula terasa apabila bertalu-talu merah suman menyerah diri kepada kami.

 

Trip Retro – Pesta Merah Suman Pelantar Minyak

 

Umpan sotong segar ternyata menjadi penarik menjinakkan merah suman berskala 2-4kg. Sesekali, gerombolan alu-alu turut menjadi koleksi tangkapan kami. Namun banyak juga yang berjaya memutuskan perambut 70lb kami. Sabar jelah!

IKLAN

 

Tepat pukul 6 pagi, tong Coleman 500quat yang kami bawa penuh ikan anggaran 500kg, dan merah suman sahaja dianggarkan sebanyak 51 ekor berjaya dijinakkan pada malam pertama.

 

Hari Kedua

 

Hari kedua, kami berpakat untuk terjah semula ke Puteri Dulang yang menjadi lokasi kumpau kami di hari pertama.

Alhamdulillah, pertaruhan kami untuk ke sini semula ternyata berhasil kerana tekong berjaya mengesan kedudukan merah suman di lubuk ini.

Apa lagi? Berpestalah lagi kami dengan merah suman yang terkenal dengan semangat juang yang tinggi apabila mengena mata kail.

 

Di sini sahaja, kami menggasak hampir 50 ekor merah suman dan selepas itu, Che Mat terus  membawa kami ke Semangkok B yang mengambil masa 2-3 jam perjalanan.

Di sini, spesies target kami bertukar pula kepada ikan pisang, jemuduk, kerapu pisang dan lain-lain.

 

IKLAN

Trip Retro – Pesta Merah Suman Pelantar Minyak

 

Shamsul Eryfin menjadi orang pertama yang memecah kebuntuan di sini apabila berjaya menumpaskan kerapu pisang berskala 5kg dengan menggunakan khidmat bangla Miya Epoch X8.

 

Yang lain-lain pula asyik bergasak dengan ikan pisang dan jemuduk di sini. Awak-awak dan tekong yang menggunakan teknik jigging pula berhasil memujuk kerapu pisang dan beberapa ekor ebek.

 

Pada waktu malam kami kembali semula ke Puteri Dulang dan kali ini Che Mat melabuhkan kapal betul-betul di bawah pipe line Puteri Dulang.

Di sini teknik bottom memang paling berkesan untuk menewaskan boron, merah pucat, kerapu pisang, kakap merah dan jenahak.

 

Memang macam pesta apabila semua geng komplot terpaksa kerja over time melayan pemangsa dasar.

Ada masanya sehingga 4-5 joran mengena ikan dan memang sungguh meriah dibuatnya hingga tak sedar hari sudah menganjak ke pagi.

IKLAN

 

Hari Ketiga 

 

Pada hari terakhir, tekong mengambil keputusan untuk kembali semula ke Semangkok B untuk melayan ikan pisang, jemuduk dan lain-lain.

Di sini, Apai mengena jackpot apabila umpan dasar yang dilabuhkannya disambar ikan merah coreng.

Saya dan Abang Azmi pula cuba bermain jig untuk merangsang sang jemuduk dan ikan pisang.

 

Disebabkan bekalan ais semakin berkurangan, trip kali ini terpaksa disingkatkan. Namun, sebelum pulang, kami berpakat untuk melayan dulu si merah suman di Semangkok B dan Puteri Dulang di malam hari.

 

Trip Retro – Pesta Merah Suman Pelantar Minyak

 

Ternyata pesta merah suman masih berterusan di sini. Menjelang tengah malam, kami mengambil keputusan untuk pulang meskipun masa memancing ada satu hari lagi kerana kekurangan bekalan ais untuk lambakan ikan yang berjaya kami pancing.

 

Akhirnya tekong terus memacu bot untuk pulang ke jeti Pulau Duyong yang memakan masa 12 jam.

Kesimpulannya dari trip ini, kami ahli komplot amat berpuas hati dengan hasil dan khidmat tekong yang diberikan. Trip santai ini ternyata sukses dan penuh dengan hilai tawa sesama ahli trip.

(Tulisan : Imran Butet)

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI