Kan Tang, sebuah daerah di wilayah Trang, selatan Thailand bukan sahaja popular dengan eko pelancongan, malah turut menjadi destinasi tersohor bagi kaki pancing domestik dan juga luar negara.

Malah pancingan laut dalam di Kan Tang turut tercatat dalam kalendar trip ramai pemancing dari Malaysia.

 

Kan Tang yang terletak di pesisir Laut Andaman sememangnya padang pancing idaman kaki pancing tanah air yang berhajat untuk menduga ikan-ikan mega bernilai tinggi.

Terutamanya ikan kerapu hitam gergasi atau giant black grouper dan ruby snapper. Ikan yang hanya ditemui di perairan kedalaman melebihi 150 meter dan tidak akan ditemui di perairan Selat Melaka.

 

Trip retro – Mendakap kerapu long tan lautan Kan Tang

 

Kebiasaannya musim memancing di sini bermula dari bulan September sehingga bulan Mac pada setiap tahun.

Justeru ia menjadi lapangan altenatif kepada penggemar pancingan laut dalam di Laut China Selatan yang sedang berhadapan dengan monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.

 

TRIP BERMULA

 

Kami bertuah kali ini kerana dapat mengikuti trip dan bergandingan dengan Abang Roslan selaku organizer trip dan Saudara Shahrizal sebagai jurupandu pancing.

Sebahagian dari kami masih newbie dan ia merupakan pengalaman baharu buat kami. Ia merupakan lapangan dan persekitaran memancing agak berbeza dengan padang pancing terdapat di Malaysia.

 

Penyertaan 14 orang pemancing dari pelbagai latar belakang memberi peluang untuk kami berkongsi ilmu dan pengalaman memancing masing-masing.

 

Trip retro – Mendakap kerapu long tan lautan Kan Tang

IKLAN

 

Perjalanan darat mengambil masa 9 jam yang memenatkan perlu diharungi dari Putrajaya untuk tiba di Kan Tang.

Sebelum memunggah naik barang dan peralatan ke bot, kami sempat singgah di kedai peralatan memancing setempat bagi mendapatkan stok wajib seperti perambut tangsi tahyul, tangsi biru Siam.

 

Trip retro – Mendakap kerapu long tan lautan Kan Tang

 

Tali tangsi ini sangat efektif dalam menjerat ikan kerapu hitam gergasi atau Lontang Andaman. Harganya amat ekonomi tetapi kukuh sekali gus menjadi pilihan utama.

Organizer mengesyorkan agar kami membeli stok tali tangsi ini bagi trip ini untuk dijadikan perambut utama.

 

Abang Roslan menyarankan agar menggunakan setting perambut apollo tali tangsi biru Siam berkekuatan 200lb dan dipadankan mata kail circle hook bersaiz 13/0 serta batu

ladung seberat 2kg hingga 3kg untuk pancingan dasar di lubuk berkedalaman 200 meter hingga 300 meter.

Penggunaan kekili elektrik atau lebih popular dengan gelaran`Bangla’ berkapasiti tali utama 500 meter ke atas adalah disyorkan.

 

IKLAN

Trip retro – Mendakap kerapu long tan lautan Kan Tang

 

Pelayaran bot ke lubuk mengambil masa 13 hingga 18 jam. Dalam perjalanan tersebut Tekong Pakdee akan berhenti di beberapa lubuk unjam bagi memancing umpan hidup.

Bot Tekong Pakdee dilengkapi pelbagai kemudahan keselamatan seperti terdapat 2 unit rakit keselamatan, jaket keselamatan, radio komunikasi dan telefon satelit sekiranya berlaku kecemasan di lautan Andaman.

 

Tekong Pakdee juga menyediakan empat orang awak-awak dan seorang chef untuk keselesaan pelanggannya sepanjang trip memancing ini.

 

Trip retro – Mendakap kerapu long tan lautan Kan Tang

 

Setibanya kami di lubuk yang pilihan, Tekong Pakdee memberikan isyarat agar semua pemancing menurunkan umpan di lubuk berkedalaman 250 meter.

Tanpa melengahkan masa kami menghulurkan umpan hirisan ikan tongkol. Tidak sampai 10 minit satu persatu set pancing kami dihenjut kasar oleh penghuni lubuk.

Seekor demi seekor ikan kerapu hitam gergasi berskala saiz 10kg hingga 30kg berjaya didaratkan. Sukar untuk kami gambar perasaan ketika itu.

IKLAN

 

Pada sebelah malam pemburuan gergasi hitam diteruskan. Penggunaan tanduk besi dua kaki panjang dan dipadankan dengan perambut tangsi 100lb ukuran antara 2 hingga 3

depa panjang serta batu ladung 1kg dan mata kail circle hook dicangkukkan umpan isi ikan tongkol. Umpan yang dilepaskan jauh ke lubangkerapu, disambut ganas.

 

Trip retro – Mendakap kerapu long tan lautan Kan Tang

 

Joran dihenjut, drag kekili elektrik dilaras ketat agar dapat melawan dan menarik keluar sebelum ia berjaya memasuki lubang batu karang yang tajam.

Seekor demi seekor lontang didaratkan dengan jayanya sekali gus telah memenuhkan tong ikan kami.

 

Ikan kerapu hitam gergasi atau lontang banyak mendiami lubuk karang berbatu yang dalam. Ia jenis yang tidak memilih umpan dan akan menyambar apa sahaja makanan melintas di hadapannya.

 

Justeru penggunaan batu ladung sehingga berat 2kg-3kg sangat penting bagi memastikan umpan dapat dilabuhkan tepat ke sasaran lubuk.

Namun lubuk tersebut turut dihuni ikan belut yang menjadi pengacau dan sering mencuri umpan kami serta merosakkan tali perambut kami.

 

Trip retro – Mendakap kerapu long tan lautan Kan Tang

 

Satu rahsia menarik mengenai lontang ini, walaupun rupanya tidak menarik tetapi isi dagingnya sangat lembut dan sedap. Harganya di pasaran juga tinggi. Maka tidak hairanlah ia menjadi buruan dan sasaran pemancing ke lautan Andaman.

(Oleh: Ahmad Suhaimi Ismail)

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI