Siakap merah atau kakap merah yang lebih dikenali dengan nama umum mangrove jack (MJ) atau mangrove red snapper tergolong dalam genus Lutjanus dan keluarga besar Lutjanidae dengan membawa nama saintifik, Lutjanus Argentimaculatus. Ikan siakap merah juga merupakan salah satu spesies daripada keluarga snapper (sebagaimana ikan merah dan jenahak). Justeru itu dapat diperhatikan siakap merah mempunyai gigi taring yang menonjol di rahang yang digunakan untuk menangkap dan menahan mangsa.

 

Mengikut data taburan spesies, ikan ini merupakan spesies natif di Lautan India dan barat Lautan Pasifik. Taburan ini termasuk di perairan di Afrika sehingga ke Samoa. Selain itu spesies ini turut boleh ditemui di perairan Australia, di kawasan Asia dan Asia Tenggara.

 

Daripada aspek morfologi, bagi siakap merah, warna pengenalan pada badannya sudah tentu berkisar dalam tona warna merah. Begitu pun, warna badan ikan siakap merah boleh berubah mengikut keadaan persekitaran. Bagi siakap merah, tona warna badannya boleh dilihat daripada warna seperti oren terbakar, sedikit warna perak sehingga ke warna coklat kemerahan bergantung kepada usia dan persekitaran.

 

Biasanya, ikan siakap merah yang ditangkap di kawasan muara akan mempunyai warna badan yang lebih menonjol berbanding yang ditangkap di luar kawasan pantai.

IKLAN

 

Daripada aspek habitat dan biologi pula, sesuai dengan nama mangrove jack, ikan siakap merah biasanya boleh ditemui di kawasan sistem muara yang mempunyai banyak pokok bakau. Pun begitu, spesies ini akan turun ke kawasan luar pantai apabila tiba masa untuk mereka bertelur. Malah dalam sesetengah keadaan, spesies ini turun sehingga beratus kilometer ke tengah laut untuk membiak sebelum naik semula ke muara dan sungai-sungai.

 

Siakap merah merupakan spesies karnivor, lantas menjadikannya antara ikan pemangsa utama di dalam rantaian makanan. Ikan siakap merah biasanya memburu ketika waktu malam dengan sasaran utamanya ialah ikan lain, krustasea, gastropoda dan molluska.

 

IKLAN

Pemangsa ini juga gemar menggunakan taktik serangan hendap ketika memburu makanannya. Mereka sering menjadikan akar bakau, kayu besar, batu dan mana-mana kawasan berhalangan lain sebagai tempat buruan utamanya keran kebanyakan ikan kecil akan berlindung di sini.

 

Siakap merah merupakan spesies yang cerdik dan pasti akan mencari kawasan berstruktur dalam usaha melepaskan diri. Apa yang pasti, larian seekor Mangrove Jack dewasa mampu membuatkan pemancing merasai adrenalina tulen lariannya dan jika berjaya mendaratkannya, pastinya menjadi kepuasan peribadi.

 

IKLAN

Siakap merah merupakan spesies yang dikatakan oportunis dan makan hampir apa sahaja. Bagi pemancing, umpan yang boleh anda cuba termasuklah udang, ketam atau ikan kecil. Biasanya siakap merah akan menyerang mangsanya melalui kepala jika umpan agak besar. Bagi siakap merah yang dewasa berhadapan dengan umpan seperti udang, biasanya spesies ini akan terus membaham keseluruhan udang dalam sekelip mata.

 

Siakap merah juga menjadi antara hidangan yang bernilai tinggi. Spesies ini memiliki rasa yang sangat lazat lebih-lebih lagi jika masih segar.

Info Spesies – Kenali Siakap Merah Samseng Muara
siakap merah laut dalam

 

Scientific classification
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Family: Lutjanidae
Genus: Lutjanus
Species: L. argentimaculatus
Binomial name : Lutjanus argentimaculatus

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI