Kesempatan berhari raya di rumah kakak yang paling sulung atau kak long yang menetap di Kampung Banting, Sabak Bernam saya manfaat sepenuhnya bagi mengisi salah satu hobi yang agak sekian lama terpaksa saya pendamkan berikutan kekangan masa.  Saya sememangnya gemar memancing namun jarang berpeluang untuk melaksanakannya. Justeru, apabila beraya di rumah kakak pada hari raya ketiga, saya berpakat dengan kakak nombor dua atau kak ngah dan suaminya untuk beraya di tepi muara yang tidak jauh dari rumah kak long.

Perjalanan ke lokasi atau spot memancing haruslah meredah sedikit lorong jalan tanah merah yang berbatu dan sedikit sempit yang ditumbuhi pokok renek meliar yang mampu mencalar-balarkan kenderaan. Sampai sahaja di lokasi memancing, tanpa berlengah saya persiapkan kelengkapan memancing dan segera melontar umpan udang segar ke tali arus muara. Ketika itu arus sedang bergerak surut dengan agak laju juga. Tidak sampai lima minit menunggu, seekor ikan gelama bersaiz kecil berjaya saya naikkan. Tidak lama kemudian seekor ikan belukang dengan saiz yang kecil turut sama berjaya dinaikkan. Kira-kira lima belas minit kemudian, secara tiba-tiba joran direntap kasar. Adrenalina dan keghairahan saya meluap-luap kerana sudah sekian merindui permainan sorong tarik dengan ikan ini. Hasilnya saya muncul sebagai pemenang dan berjaya mendaratkan seekor belukang yang agak kasar dalam anggaran berat satu kilogram.

Beraya dengan belukang

IKLAN

Melihat pada arus yang semakin surut dan para air yang semakin cetek menjauhi tebing, saya berasa kesal pula tidak datang lebih awal. Sementara hasil pancingan pula terus didominasi ikan-ikan yang bersaiz kecil. Hampir satu jam selepas mendaratkan belukang kasar itu, sekali lagi umpan udang segar yang digunakan direntap ganas. Daya tarikan atau daya juang mangsa yang terperangkap pada mata kail juga lebih padu. Namun saya berjaya mengawal joran dan mengatasi kuasa mangsa dan akhirnya seekor lagi belukang yang lebih besar saiznya berjaya saya tundukkan.

Beraya dengan belukang

IKLAN

Walaupun hajat sebenar saya ialah untuk memancing ikan sembilang atau gemang tidak kesampaian, namun ia sedikit pun tidak mengecewakan saya. Setelah hampir dua jam kami memancing setidak-tidaknya berjaya juga kami daratkan dua ekor ikan belukang bersaiz kasar, sepuluh ekor belukang saiz kecil, empat ekor ikan duri, tiga ekor ikan gerut-gerut dan lima ekor ikan gelama yang juga bersaiz kecil.

Beraya dengan belukang

IKLAN

Setelah pulang, semua hasil tangkapan walaupun bukan ikan gred tinggi dijadikan lauk-pauk. Ikan-ikan yang kecil digoreng rangup. Ikan belukang bersaiz kasar dimasak asam pedas dan kari. Rasanya sangat fresh dan langsung tidak hanyir. Dan bonusnya kami dapat menikmati telur ikan belukang yang amat lazat rasanya.

(catatan pengalaman: Lyza Jemail)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI