Belida Muncul Juara GP KOPDBKL Siri 3

204

Jika pada acara GP KOPDBKL siri kedua yang dilangsungkan di Tasik Titiwangsa yang lalu, menyaksikan ikan toman muncul sebagai juara, pada acara GP KOPDBKL siri ketiga yang berlangsung pada Ahad lalu di Taman Tasik Ampang Hilir menyaksikan spesies belida pula yang mengambil teraju di puncak podium.

salah satu spot utama

Berikutan acara mempraktikkan sistem mata (point) sebagai markah dan bukannya ikan terberat menyaksikan Yusuf Harun yang mendaratkan ikan belida seberat 4.995 kg dinobatkan sebagai juara. Spesies belida dikategorikan 6 mata per kilogram membolehkan ia mengumpul 29.97 mata.

Persaingan merebut kemuncak podium kali ini agak sengit yang menyaksikan perbezaan mata yang agak rapat. Itulah hakikat yang terpaksa dihadamkan oleh Luqman Nur Haqim yang berjaya mendaratkan seekor ikan toman seberat 7.035 kg. Berikutan spesies toman dikategorikan 4 mata per kilogram, maka ia mampu mengumpul 28.14 mata, hanya 1.83 mata kurang.

Belida yang dinaikkan awal pertandingan

Begitu juga dengan Mohamad Suhri yang mendaratkan seekor belida seberat 4.67 kg yang sekadar mengumpul 28.04 mata. Hanya kekurangan 0.1 mata berbanding peserta di podium kedua dan 1.93 mata untuk mencabar kedudukan mata juara

.Namun nasib yang lebih pedih untuk ditelan dirasai oleh peserta yang berada di ranking ketujuh. Jika sistem ikan terberat yang diambil kira maka beliau pasti muncul sebagai juara setelah mendaratkan ikan patin seberat 15.15 kg. Berikutan ikan patin dikategorikan 1 mata per kg, maka Johari Kasim sekadar berpuas hati mengumpul 15.15 mata sahaja.

toman naib juara

Penyampaian hadiah bagi acara GP KOPDBKL ketiga disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi C. Ngah diiringi oleh Pengerusi KOPDBKL Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam temu bual dengan wakil media, Datuk Mahadi C. Ngah melahirkan rasa kesyukuran berikutan taman-taman di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa digunakan dengan aktiviti riadah yang bermanfaat termasuklah pertandingan memancing yang dilangsungkan. Sementara Kamarulzaman Mat Salleh pula berpuas hati dengan sambutan yang begitu memberangsangkan dan bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti pertandingan pada masa hadapan.

Datuk Mahadi (berkemaja) membunyikan siren tanda penamat pertandingan.

Carta 10 Pemenang

  1. YUSUF HARUN – Belida 4.995 kg (29.97 mata) – RM20,000.
  2. LUQMAN NUR HAQIM – Toman 7.035 kg (28.14 mata) – RM6,000.
  3. MOHAMAD SUHRI – Belida – 4.67 kg (28.02 mata) – RM3,000.
  4. MOHAMAD SUHRI – Belida 4.45 kg (26.7 mata) – RM500.
  5. SAULI ABDUL MANAF – Belida 4.235 kg (25.41 mata) – RM400.
  6. MUHAMMAD JOHAN HEILJO ABDULLAH – Belida 2.655 kg (15.93 mata) – RM250.
  7. JOHARI KASIM – Patin 15.15 kg (15.15 mata) – RM250.
  8. MUHAMAD FIQRI SAZALI – Belida 2.495 kg (14.97 mata) – RM250.
  9. JOHARI BIN SALEH – Keli 7.06 kg (14.12 mata) – RM250.
  10. AMRUL MD YUSOF – Belida 2.325 kg (13.95 mata) – RM250.

GALERI

Tinggalkan Komen