31 C
Shah Alam
Saturday, 21 October, 2017
Utama Tip & D.I.Y Tip & Info Anatomi Luaran Badan Ikan

Anatomi Luaran Badan Ikan

146

Anatomi ikan merupa kan asas bagi pembahagian serta mengenal pasti spesies ikan. Secara asasnya, mengenal pasti ikan melalui bilangan sirip merupakan kaedah yang selalu digunakan oleh seorang ichtyologist (pengkaji ikan). Namun terdapat juga cara lain bergantung pada superclass dan class tertentu.

1.    Operkulum  (operculum)

Merupakan bahagian keras yang melindungi bahagian insang. Kebiasaannya, bahagian ini merupakan pembahagi antara kepala dan badan. Operculum sangat penting dalam pengambilan oksigen. Ianya akan terbuka apabila mulut ikan tertutup, menyebabkan tekanan dalam ikan menurun. Air akan masuk ke  bahagian tekanan rendah melalui insang membolehkan oksigen diambil daripada air.

2.    Garisan lateral (lateral line)

Biasanya dapat dilihat memanjang hingga ke bahagian ekor. Garisan lateral ini berfungsi sebagai organ rasa untuk mengesan pergerakan dan getaran di dalam air. Kadangkala garisan lateral ini merupakan electroceptors di mana ianya berfungsi mengesan rangsangan elektrik. Sesetengah spesies seperti jerung juga menggunakan organ lateral ini untuk mengesan medan magnetik.

3.    Sirip dorsal (dorsal fin)

Terletak bahagian atas ikan. Sesetengah ikan mempunyai hingga 3 sirip dorsal. Sirip dorsal melindungi ikan dari pemangsa dan membantu ikan untuk membelok dan berhenti secara mengejut. Sesetengah ikan menggunakan sirip dorsal dengan lebih berbeza. Anglerfish menggunakan sirip dorsalnya yang bercahaya untuk ‘memancing’ ikan lain. Terdapat juga sesetengah ikan yang mampu mengeluarkan racun melalui sirip dorsalnya. Bagi spesies belut pula, fungsi sirip dorsal diambil alih oleh sirip anal.

4.    Sirip adipos (adipose fin)

Merupakan sirip yang lembut dan berdaging di antara sirip dorsal dan kaudal. Terdapat pada sesetengah ikan sahaja seperti salmonidae, charasins dan catfishes. Fungsi sebenar sirip adipos ini masih menjadi misteri. Terdapat pengkaji menyatakan ianya mengesan bunyi dan perubahan tekanan. Pengkaji di Kanada juga menyatakan ianya berfungsi seperti sensor namun masih tiada bukti yang jelas.

5.    Kaudal pedunkel (caudal peduncle)

Merupakan bahagian antara badan dan ekor. Boleh dikatakan sebagai bahagian kecil yang menyambungkan bahagian badan dan ekor ikan.

6.    Sirip pektoral (pectoral fin)

Sepasang sirip pektoral terletak pada setiap sisi ikan berhampiran operkulum. Ia membantu ikan untuk mengekalkan kedudukan ikan pada satu-satu kedalaman. Ikan daripada famili Clariidae seperti keli menggunakan sirip pektoral untuk berjalan di darat.

7.    Sirip pelvik (pelvic fin)

Terletak pada bahagian bawah abdomen dan berpasang. Sirip pelvik ini membantu ikan untuk berenang ke atas dan ke bawah, membelok dengan tepat dan berhenti dengan cepat. Dalam famili Gobiidae, sirip pelvik biasanya bercantum menjadi satu sirip menyedut yang berfungsi untuk berpegang pada sesuatu substrat seperti batu dan sebagainya.

8.    Photophores

Merupakan organ pemancar seakan bintik bercahaya yang biasanya terdapat pada ikan perairan marin. Kita melihat badan ikan yang berkilat adalah disebabkan oleh photophores. Karakter pencahayaan ini penting bagi mengenal pasti jenis ikan terutama ikan di lautan pada paras kedalaman benthic.

9. Sirip anal (anal fin)

Terletak permukaan bawah ventral atau perut ikan dan di belakang anus. Sirip anal berfungsi untuk kestabilan ketika ikan berenang.


10.    Sirip kaudal (caudal fin)

Sirip kaudal merupakan bahagian ekor ikan. Ianya penting untuk henjutan ketika berenang. Sirip kaudal juga mempunyai pelbagai bentuk mengikut spesies ikan tertentu dan boleh juga dikelaskan untuk mengklasifikasikan spesies ikan.

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: